17 Zulkaedah 1446 H
15 Mei 2025 M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Waris Pelajar & Pelajar (dewasa) yang dihormati,
Semakan Semula Yuran
Semoga surat ini menemui anda sekeluarga dalam keadaan sihat walafiat dan iman yang mantap. Ameen. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan dan sokongan berterusan anda terhadap program kami.
Seperti yang diketahui, kos sara hidup di Singapura meningkat dari tahun ke tahun. Peningkatan ini memberi kesan kepada pelbagai aspek operasi kami, termasuk sewa unit bilik darjah, bil utiliti, kos pengubahsuaian, serta usaha berterusan untuk meningkatkan mutu pendidikan yang kami tawarkan. Kami juga komited untuk memastikan skala gaji para asatizah dan kakitangan sokongan kami setara atau hampir setara dengan kadar pasaran semasa.
Kenaikan kos operasi ini telah memberi kesan besar terhadap perbelanjaan keseluruhan kami. Bagi mengekalkan kualiti dan kelangsungan program kami, pihak pengurusan telah mengambil keputusan yang sukar untuk menyemak semula struktur yuran.
Setelah penelitian dibuat, perubahan berikut (sila rujuk lampiran) akan berkuat kuasa mulai Julai 2025 (pemotongan melalui GIRO pada 12 Jun 2025).
Untuk makluman, semakan yuran terakhir dilakukan enam tahun yang lalu. Terakhir semakan yuran tersebut berlaku pada Julai 2019. Peningkatan GST baru-baru ini pada tahun 2023 dan 2024 pula dilaksanakan semata-mata bagi memenuhi keperluan pihak pemerintah dan Al-Zuhri tidak menerima sebarang manfaat kewangan daripada kutipan GST tersebut.
Al-Zuhri tetap komited dalam mengurus kewangan secara berhemah, berusaha mengekalkan kemampuan yuran agar terus berpatutan di samping meningkatkan mutu perkhidmatan dan pendidikan kami.
Kami berharap keputusan ini diterima dengan hati terbuka. Sekiranya perubahan ini memberi kesan kepada anda dan keluarga, kami mengalu-alukan anda untuk berbincang dengan pihak pengurusan di pusat tempat anda/anak anda belajar. Kami bersedia membantu, insyaAllah.
Terima kasih atas sokongan dan kefahaman anda yang berterusan. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dan mengurniakan kejayaan di dunia dan akhirat. Ameen.
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Ikhlas,
Muhammad Fuad Md Aris
Pengarah Kewangan 1
Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri
Semakan Yuran Bagi Program-Program Pengajian di Al-Zuhri
.jpg)
Pembayaran yuran melalui Giro: Sebagai peringatan, pemotongan yuran melalui Giro untuk bulan Julai 2025 akan dibuat pada bulan Jun 2025.
Soalan Lazim (FAQ):
Kenaikan Yuran Pengajian Andalus / Cordova / Al-Zuhri
Bermula Julai 2025
Mengapa yuran dinaikkan?
Kos operasi seperti sewa, gaji dan utiliti terus meningkat setiap tahun. Kenaikan yuran ini perlu agar Andalus, Cordova dan Al-Zuhri dapat terus beroperasi dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti. Kali terakhir yuran dinaikkan adalah enam tahun yang lalu iaitu pada 2019.
Mengapa kenaikan yuran sebanyak jumlah yang dinyatakan dalam surat edaran?
Kadar ini adalah minimum yang diperlukan untuk menampung sebahagian daripada kenaikan kos yang kami hadapi. Kami amat berhati-hati dan berusaha agar tidak membebankan ibu bapa, pelajar dewasa dan keluarga yang menyokong pembelajaran ahli keluarga mereka.
Kenapa Andalus, Cordova dan Al-Zuhri tidak dapat menyerap kos ini?
Sebagai institusi swasta, kami tidak menerima bantuan pemerintah dan tidak dibenarkan memungut derma. Oleh itu, yuran pengajian adalah satu-satunya sumber untuk menampung kos operasi kami.
Adakah mutu perkhidmatan akan bertambah baik dengan kenaikan ini?
InsyaAllah. Kami komited untuk mengekalkan dan meningkatkan kualiti pembelajaran, termasuk tenaga pengajar, bahan bantu belajar dan persekitaran pembelajaran.
Adakah yuran akan naik lagi jika GST atau CPF dinaikkan?
Kami akan menilai keadaan semasa sebelum membuat sebarang keputusan. Dasar kami adalah untuk tidak menaikkan yuran kecuali jika benar-benar diperlukan.
Adakah terdapat pilihan bantuan kewangan bagi pelajar dan keluarga yang memerlukan?
Ya, kami menyediakan skim bantuan kewangan terbatas bagi pelajar yang layak. Pelajar atau waris pelajar boleh memohon melalui pejabat cawangan masing-masing. Permohonan akan dinilai secara teliti berdasarkan keperluan.
Bilakah kenaikan ini akan berkuat kuasa?
Kenaikan yuran akan berkuat kuasa mulai bulan Julai 2025. Yuran untuk bulan Julai 2025 akan dipotong melalui GIRO pada 12 Jun 2025